Apabila membicarakan tentang seni, masyarakat umumnya lebih
tertarik dengan seni yang lebih popular seperti seni muzik mahupun seni
lakonan. Ini bertitik tolak daripada pendedahan yang meluas diterima bagi
kedua-dua cabang seni tersebut. Lantaran itu, seni muzik dan seni lakonan ini
mempunyai impak yang bukan sedikit ke atas khalayak di negara ini. Nama-nama
kecil dan besar yang menguasainya begitu mudah bermain di bibir masyarakat,
baik anak kecil, mahupun golongan yang lebih tua.
Namun begitu, apabila memperkatakan tentang seni visual,
ianya seakan jauh terpinggir. Walaupun sebenarnya ia telah wujud lebih awal di
kalangan masyarakat, kita masih merasakannya sebagai suatu cabang seni yang
duduknya pada kelas kedua. Hanya golongan tertentu sahaja yang bener-benar
menghayati seni visual dalam erti kata penghayatan estetika selayaknya.
Walaupun kewujudan seni visual adalah seusia dengan
peradaban manusia, namun masyarakat di Malaysia masih memandang sinis akan
kepentingannya di dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan budaya bangsa.
Bermula dengan lebih dikenali sebagai Seni Lukis dan Pertukangan/ Pekerjaan
Tangan di era sebelum merdeka sehinggalah beralih kepada Seni Visual sejak
kebelakangan ini, namun martabatnya masih diletakkan pada tempat yang sama.
Lantaran itu, sejajar dengan hasrat untuk membentuk warga
negara yang tahu menghargai budaya, mempunyai nilai-nilai norma kemasyarakatan
yang luhur berpaksikan kepada Rukun Negara, maka perubahan demi perubahan
dilakukan ke atas kurikulum pendidikan negara. Perubahan ini merangkumi
pelbagai mata pelajaran di sekolah merangkumi peringkat rendah persekolahan
sehinggalah ke peringkat tertinggi. Perubahan ini turut merangkumi mata
pelajaran Pendidikan Seni yang dikira akan dapat mengangkat martabat seni
visual khasnya ke suatu kedudukan yang lebih baik.
Di samping itu, ia juga menjadi serampang dua mata sebagai
uasaha membentuk minda baru masyarakat Malaysia, tidak sekadar memandang seni
dari sudut estetikanya sahaja malahan mampu mengangkat darjat dan peranan seni
visual di dalam pembentukan ketamadunan negara.
i) Definisi Seni
Apa sebenarnya yang dinamai ‘ seni ’ itu sendiri? Terlalu
banyak kupasan dan pendefinisian mengenai seni, baik melalui tokoh-tokoh
sejagat mahupun tokoh seni tempatan. Baik kupasan berlandaskan estetika
semata-mata mahupun pengertian seni yang dapat dikutip melalui kacamata agama.
Ini melambangkan betapa luasnya kesenian itu sendiri lantaran manusia yang
normal secara totalnya amat senang dengan sesuatu yang mempunyai nilai-nilai
dan unsur seni.
Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai
karya ( sajak, lukisan, muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat,
kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa
untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan penghayatan serta
pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu
dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan
sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di
dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang
tinggi.
Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim melalui
penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan
konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan
terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim
menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu ( pengetahuan ) di mana
seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta
serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek
yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan
menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu
menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian
erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
Menurut Herbert Read ( buku, The Meaning of Arts ) seni
adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan
kesenangan estetik ( Art is Expression ).
Kesenangan estetik di sini adalah merujuk kepada konsep
kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap keindahan seni visual.
Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam
kesenangan ini.
Kesimpulannya, biar dari sudut pandangan mana sekalipun,
seni merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan estetika dan keindahan.
Keindahan yang mampu memukau dan mempersonakan mata dan hati yang menghayatinya
dengan segenap pancaindera yang ada.
ii) Definisi Pendidikan
Pendidikan menurut Plato, seorang filosofis Yunani, ialah
mengasuh jasmani dan rohani seseorang agar dapat sampai ke satu tahap keindahan
dan kesempurnaan yang paling tinggi. Secara jelasnya, pendidikan adalah suatu
usaha membentuk kesempurnaan dan keindahan di dalam diri individu. Pengertian
ini adalah sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh salah seorang lagi
filosofis Yunani iaitu.
Aristotle di mana beliau mengungkapkan pendidikan sebagai
satu usaha untuk menyediakan akal-fikiran untuk diisikan dengan ilmu
pengetahuan, sebagaimana menyiapkan tanah untuk diisikan dengan
tanam-tanaman.
Berdasarkan Kamus Dewan, pendidikan berasal daripada kata
dasar didik yang membawa pengertian memelihara dan memberi latihan berupa
ajaran ataupun pimpinan mengenai akhlak dan kecerdasan fikiran. Pendidikan pula
membawa maksud proses mengubah sikap dan tata laku seseorang dalam usaha
mematangkan individu tersebut. Secara jelasnya, pendidikan bolehlah ditakrifkan
sebagai proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada seseorang.
Oleh kerana luasnya konsep pendidikan itu disamping
pertalian intimnya dengan ilmu, para cendikiawan seringkali memberi
pendefinisian tentang pendidikan berdasarkan cabang ilmu masing-masing bagi
memberikan kefahaman yang lebih jelas. Umpamanya, di dalam Islam sendiri,
konsep ilmu terbahagi kepada dua, iaitu ilmu akhirat ( ukhrawi ) dan ilmu
keduniaan ( duniawi ). Bertitik-tolak daripada kefahaman tersebut, Abdul Halim
el-Muhammady mentakrifkan pendidikan daripada kacamata Pendidikan Islam sebagai
suatu proses mendidik dan melatih akal, jasmani, rohani dan emosi manusia
berasaskan sumber wahyu, Quran dan Sunnah, pengalaman salaf al-soleh serta
ilmuwan muktabar dengan matlamatnya bagi melahirkan insan yang soleh.
Manakala penganut aliran Fungsionalisme melihat individu
tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai untuk dirinya. Pendidikan bagi
mereka bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu bagi dirinya
tetapi untuk keperluan komuniti dan masyarakatnya. Ini adalah lantaran
masyarakatlah yang menentukan baik dan buruknya sesuatu perkara.
Salah seorang penganut aliran ini, Durkheim ( 1956 )
umpamanya mendefinisikan pendidikan sebagai penerapan pengaruh generasi dewasa
kepada mereka yang memasuki era baru dalam kehidupan sosial. Mereka yang
dididik adalah dikehendaki mempelajari dan mempraktikkan nilai-nilai keperluan
sebagaimana yang dikehendaki oleh generasi yang lebih awal. Oleh itu, secara
umumnya Durkheim menganggap fungsi pendidikan adalah untuk mengekalkan masyarakat
dengan menyediakan rangka normatif dan kognitif masyarakat dalam diri invidu.
John Dewey, seorang pakar pendidikan Amerika Syarikat
mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses perkembangan individu. Menurut
beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan
lagi pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih
berguna dan selamat.
Hj. Abdul Malik Karim Amrullah ataupun lebih di kenali
sebagai Hamka iaitu salah seorang tokoh pendidikan Islam yang paling
berpengaruh di Indonesia. Beliau mendefinisikan pendidikan sebagai suatu proses
yang boleh membentuk tingkah laku yang baik, sikap yang berani serta budi
pekerti yang mulia seperti sikap rendah diri, sabar, menghormati orang tua dan
sebagainya.
Rabindranath Tagore, salah seorang ahli falsafah dan penyair
India yang terkemukamenyatakan pendidikan sebagai suatu proses yang bertujuan
untuk melahirkan manusia yang berfikiran sempurna, berupaya mencapai segala
aspek kehidupan dengan penuh makna. Menurut beliau, pendidikan tidak seharusnya
hanya terikat dengan buku, tetapi harus dihubungkaitkan dengan pengalaman
kehidupan sebenar manusia.
Oleh itu, pendidikan secara jelasnya boleh dilihat sebagai
suatu proses berterusan dalam usaha membentuk individu bagi memenuhi keperluan
diri dan masyarakatnya, berlaku samada secara formal ataupun non-formal. Ini
adalah kerana, setiap individu, terutamanya individu muslim, telah ditetapkan
secara jelas tujuan matlamat pendidikan tersebut.
iii) Definisi Pendidikan Seni
Pendidikan Seni Di Dalam Sistem Pendidikan Formal Negara
bermaksud program pendidikan yang bersistem, terancang dan boleh diukur
prestasinya bagi memenuhi keperluan individu dan aspirasi negara. Ia merangkumi
idea-idea yang dicetuskan melalui lukisan, ukiran dan pelbagai kemahiran tangan
yang lain yang diadunkan daripada pengalaman murid dan apa yang telah
dipelajari.
Feldman ( 1996 ) memberikan pendefinisian pendidikan seni
sebagai usaha yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran membuat dan memahami
seni, di samping mengetahui tentang dunia dan diri kita sendiri melalui seni.
Seni yang dimaksudkan di sini adalah meliputi apa jua cabang seni visual
seperti catan, arca, seni bina, reka bentuk industri, garafik komputer, serta
apa jua yang berkaitan dengan seni, baik yang berupa seni tampak tradisional
mahupun seni moden.
Pendidikan seni merangkumi pelbagai kaedah dan teknik yang
digunakan di dalam penghasilan produk seni, mempelajari sejarah dan antropologi
seni, membezakan makna seni serta melihat nilai produk seni individu. Lantaran
itu, pendidiikan seni lebih menitik beratkan pemikiran, perbuatan dan penilaian
yang original di samping memberi kesempatan untuk individu itu memperkembangkan
idea semulajadinya secara teratur menerusi peringkat-peringkat perkembangan
yang artistik.
Kesimpulannya, pendidikan seni merupakan suatu sistem
pengajaran dan pembelajaran seni tampak yang terancang dan mempunyai hala tuju
serta matlamat yang jelas. Pendidikan seni adalah suatu sistem pengajaran dan
pembelajaran yang bermatlamat melahirkan individu yang celik seni bagi diri dan
masyarakatnya
Salam...boleh sy salin artikel ni....sy sedang sambung belajar dan seni adalah salah satu subjek sy.. .terimakasih...
ReplyDeletelautkelapas@gmail.com
wslm . silakan :)
ReplyDelete